Bila tarikh hari Ibu dan Bapa tahun 2024 sambutan di Malaysia

Setiap insan mempunyai ibu dan bapa yang melahirkan serta membesarkan kita. Fitrah ibu mahupun bapa dengan naluri keibubapaan mereka yang berperanan menjaga, mengasuh dan melindungi, tentunya dapat dijadikan satu cerminan kasih sayang yang tiada penghujung buat anak-anak.

Nilai kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh serta pergorbanan ibu dan bapa dalam mendidik, membesarkan anak-anak mereka untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara seharusnya dihargai.

Oleh itu, Hari Ibu dan Bapa diraikan untuk mengingatkan masyarakat terhadap nilai asas yang begitu dekat dengan kehidupan dan diri, di samping menghargai ibu dan bapa, melalui peranan mereka mencorakkan masa depan generasi pewaris.

TARIKH SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA TAHUN 2024 BAGI MALAYSIA

Sambutan Hari Ibu dan Bapa bukanlah suatu perayaan tetapi suatu detik singkat untuk mengajak kita kembali mengingatkan suatu yang barangkali antara kita terlupa, agar kasih sayang itu dihargai, diperlihatkan sebagaimana ibu mahupun memperlihatkannya kepada anak-anak.

TARIKH SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA DI MALAYSIA TAHUN 2024

HARI IBU – 12 MEI 2024/Ahad

HARI BAPA –  16 JUN 2024/Ahad

HUKUM MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI BAPA

Berikut dikongsikan penjelasan berkaitan sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri:

A) Berkenaan Sambutan Hari Ibu atau Hari Bapa:

  1. Menurut perspektif beliau, isu ini adalah lebih kepada istilah sahaja di mana hakikat perayaan dalam Islam cuma ada dua (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji)
  2. Berkaitan dengan memuliakan ibu bapa pula, ia tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu. Malah kewajipannya adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat. Justeru, perayaan seperti Hari Ibu dan Hari Bapa ini lebih menghampiri pengaruh Barat yang terpaksa mewujudkan perayaan untuk menghormati ibu dan bapa. Sedangkan bagi orang Islam, anjuran supaya memuliakan dan menghormati kedua ibu bapa sebenarnya sudah dititikberatkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah Nabi SAW, tanpa terikat dengan masa dan tempat

B) Boleh Merayakan Hari Ibu dan Hari Bapa Dengan Syarat:

  1. Menganggap Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai penghormatan tambahan untuk mereka, bukannya menyempitkan skop menghormati mereka hanya pada tarikh tersebut
  2. Tidak menjadikan ia sebagai satu bentuk perayaan dengan ertikata perayaan keagamaan, tetapi sebagai sambutan secara adat sahaja
  3. Sewajarnya seseorang Islam sentiasa menghormati ibubapa dan pada saat yang sama memahami ajaran Islam supaya ketaatannya sentiasa selaras dengan syariat Islam

Sumber Mufti Wilayah Persekutuan

PANDUAN MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI BAPA MENURUT ISLAM

Antara cara menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa menurut pandangan Islam adalah seperti berikut:

  1. Betulkan niat supaya sambutan dirahmati dan tidak terpesong daripada landasan syariat Islam
  2. Amalkan kesederhanaan dan elakkan pembaziran serta keterlaluan
  3. Jangan lalai dan mengabaikan ibadah serta tanggungjawab disebabkan terlalu asyik mengadakan sambutan tersebut
  4. Sebaiknya terapkan unsur-unsur keagamaan dalam sambutan seperti doa selamat, tahlil dan sebagainya supaya diberkati dan sambutan tersebut tidaklah terasa kosong dan sia-sia
  5. Hari Ibu dan Hari Bapa adalah peluang yang baik untuk berkumpul sekeluarga, mengeratkan silaturrahim antara anak dan ibu bapa serta sesama adik-beradik