Kehadiran pelajar ke sekolah adalah amat penting. Ini kerana jika pelajar tidak hadir ke sekolah mereka akan ketinggalan ilmu yang diajarkan oleh guru pada hari tersebut. Hal ini secara tidak langsung merencatkan pemahaman pelajar dan akan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan pelajar.
Kehadiran pelajar juga penting kerana apabila pelajar tamat pengajian di sekolah masing-masing, pihak sekolah akan merekodkan kehadiran pelajar di sijil berhenti sekolah. Kehadiran yang baik akan memberi imej yang baik terhadap pelajar tersebut.
Justeru itu, ibu bapa harus memainkan peranan penting bagi memastikan kehadiran anak-anak mereka di bawah pengetahuan mereka. Jika anak anda tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah atas alasan yang munasabah, satu surat tunjuk sebab wajib diserahkan kepada guru kelas masing-masing.
Surat ini akan disimpan sebagai rekod yang menunjukkan pelajar tidak ponteng sekolah. Antara sebab tidak hadir ke sekolah yang sering diguna pakai seperti demam, masalah keluarga, terlibat dalam aktiviti luar dan sebagainya.
Aktiviti ponteng semakin berleluasa dalam kalangan pelajar. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa bagi memantau aktiviti anak-anak anda. Banyak kes boleh didapati di mana pelajar ponteng sekolah dan pergi ke pusat membeli belah, pusat hiburan dan sebagainya dan melakukan aktiviti tidak bermoral.
Tidak hadir ke sekolah tanpa sebab secara kerap boleh mengakibatkan pelajar diambil tindakan oleh pihak sekolah.
Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah Atas Pelbagai Alasan (Sakit, Demam, Urusan Keluarga)
Berikut dikongsikan contoh surat rasmi tidak hadir ke sekolah sebagai panduan untuk ibu bapa khususnya.
Alasan tidak hadir ke sekolah bergantung kepada individu tersebut dan perlu dinyatakan secara jelas:
Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah Atas Urusan Keluarga
No 56, Jalan Mawar 1,
Taman Tun Teja
81200 Johor Bahru,
Johor
Kepada,
Guru Tingkatan 4 Amanah,
Sekolah Menengah Taman Tun Teja,
81200 Johor Bahru,
Johor 6 Januari 2019
PER : SURAT TUNJUK SEBAB KETIDAK HADIRAN ANAK KE SEKOLAH
Perkara di atas adalah dirujuk.
2. Saya Dollah Bin Said merupakan bapa kepada murid yang bernama Yusri Bin Dollah dari kelas 4 Amanah ingin memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa anak saya tidak hadir ke sekolah pada tarikh 3 Januari 2019 dan ia adalah di bawah pengetahuan saya sebagai bapa.
3. Pada tarikh tersebut kami sekeluarga pulang ke kampung untuk menghadiri majlis kenduri doa selamat bersama keluarga bersempena keberangkatan ibu bapa saya ke Mekkah bagi menunaikan ibadah umrah.
4. Oleh itu, saya berharap agar pihak sekolah maklum bahawa anak saya tidak melakukan kesalahan ponteng pada tarikh yang dinyatakan.
Sekian, terima kasih
Yang benar,
……………………………
(Dollah Bin Said)
Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah Kerana Sakit
Yusrina Binti Halim,
No 42, Jalan Muhibah 5,
Taman Pandan,
82000 Pontian,
Johor
Guru Tingkatan 3 Harmoni,
SMK Taman Pandan,
82000 Pontian,
Johor 5 Februari 2019
Tuan,
PERKARA: TIDAK HADIR KE SEKOLAH
Merujuk kepada perkara di atas, saya ibu kepada pelajar tingkatan 3 SMK Taman Pandan bernama Aiman Bin Ya’kob ingin memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa anak saya tidak hadir ke sekolah atas masalah kesihatan migrain pada tarikh 4 Februari 2019.
2. Oleh itu, saya sebagai ibu kepada Aiman Bin Ya’kob ingin memohon maaf kepada pihak sekolah atas ketidak hadiran anak saya. Anak saya akan kembali ke sekolah seperti biasa apabila dia sembuh dan cergas untuk ke sekolah.
3. Pihak sekolah boleh menghubungi saya di talian 017-7854432 jika terdapat perkara penting untuk dimaklumkan kepada anak saya.
4. Segala kerjasama dan keprihatinan daripada pihak sekolah amat saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.
Yang benar,
……………………
(Yusrina Binti Halim)
Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah Atas Faktor Kekangan Masa
Chong Wei Liang,
No 43, Jalan Kenari 9,
Taman Bestari Jaya,
10358 Kangar,
Perlis
Guru Kelas 4 Usaha,
SK Taman Bestari Jaya,
10358 Kangar,
Perlis 3 Februari 2019
Puan,
PER: SURAT TUNJUK SEBAB TIDAK HADIR SEKOLAH
Merujuk kepada perkara di atas, saya Chong Wei Liang bapa kepada murid bernama Chong Kim Sun yang menuntut di SK Taman Bestari Jaya di kelas 4 Usaha ingin memberitahu bahawa anak saya tidak hadir ke sekolah pada 4 Februari 2019.
2. Anak saya tidak hadir ke sekolah pada tarikh yang dinyatakan kerana menghadiri pemilihan untuk menyertai pasukan bola sepak Perlis bawah 12 tahun. Pemilihan telah berlangsung sepanjang hari dan anak saya tidak dapat hadir ke sekolah atas faktor kekangan masa.
3. Anak saya akan hadir ke sekolah pada hari keesokannya seperti biasa. Saya sebagai bapa ingin memohon maaf atas kesulitan dan berharap agar pihak sekolah dapat mempertimbangkan cuti anak saya.
Sekian, terima kasih,
…………………………….
(Chong Wei Liang)
Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah Atas Alasan Sakit
Mohan A/L Subramaniam,
No 65, Jalan Teguh,
Taman Cahaya baru,
53100 Kuala Lumpur
Guru Tingkatan 5 Mawar,
SMK Taman Cahaya Baru
53100 Kuala Lumpur 13 Februari 2019
Puan,
PER : TIDAK HADIR KE SEKOLAH
Saya seperti nama di atas adalah bapa kepada Ghajendran A/L Mohan daripada kelas 5 Mawar ingin memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa anak saya tidak dapat hadir ke sekolah pada tarikh 12 Februari 2019.
2. Seperti tarikh yang dinyatakan, anak saya tidak dapat hadir ke sekolah kerana menghadapi serangan asma sehingga saya terpaksa membawanya ke klinik berdekatan. Untuk pengetahuan pihak sekolah anak saya merupakan pesakit asma dan pernah mengalami serangan asma sebelum ini.
3. Bersama surat ini, saya sertakan surat daripada doktor menyatakan anak saya telah mendapat rawatan dan diberi kebenaran untuk cuti sakit selama satu hari.
4. Saya berharap pihak sekolah memahami situasi anak saya dan tidak mengambil tindakan ke atas anak saya. Segala kerjasama daripada pihak sekolah didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian,
Yang benar,
………………………….
(Mohan A/L Subramaniam)