Tugasan pelbagai instrumen bagi subjek sejarah PT3 2019 menyaksikan calon-calon dikehendaki membuat kajian tentang Masyarakat di Kawasan Tempat Tinggal Calon.
Berdasarkan semakan GCarian terhadap aspek-aspek tugasan yang diberikan, setiap calon perlu membuat tinjauan, temubual orang sumber serta membuat penilaian di kawasan tempat tinggal calon bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk menyiapkan sebuah laporan tugasan kajian diberikan itu.
Secara umumnya, laporan ialah kertas yang mengandungi khabar atau maklumat. Laporan ditulis bagi melaporkan sesuatu hal atau perkara yang telah berlaku dengan menitikberatkan kejelasan dan ketepatan serta maklumat tersebut disampaikan secara bersistematik.
Tips, Contoh Dan Panduan Jawapan Kerja Kursus PT3 Sejarah 2019 Masyarakat Di Kawasan Tempat Tinggal Anda
Melalui halaman ini, calon-calon boleh mendapatkan tips dan panduan cara mendapatkan bahan maklumat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Penulis GCarian akan memberikan tips yang terbaik berpandukan tajuk tugasan kajian yang telah diberikan kepada calon-calon.
Tugasan
Anda dikehendaki membuat kajian tentang masyarakat di kawasan tempat tinggal anda.
Hasilkan satu laporan tentang masyarakat setempat yang panjangnya tidak kurang daripada 300 patah perkataan.
Tugasan anda hendaklah mengandungi aspek berikut:
(a) Tajuk kajian
(b) Nama penulis
(c) Isi Kandungan:
(i) Latar belakang tempat kajian
(ii) Pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat
(iii) Kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat
(iv) Menilai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat
(v) Dengan merujuk kepada tempat tinggal anda, ulaskan pernyataan berikut:
“…tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini. “
Petikan ucapan Tunku Abdul Rahman pada 3 Jun 1957, di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur
(d) Rumusan
(e) Sumber Rujukan
(f) Membentangkan laporan hasil kajian
Tips Dan Panduan
A) Tajuk Kajian | B) Nama Penulis
Pernyataan tajuk hendaklah mampu menjelaskan fokus kajian yang menepati kehendak tugasan selaras dengan isi kandungan laporan. Berikut adalah contoh penyataan tajuk kajian dan perkara yang berkaitan dengan penulis (calon)
MASYARAKAT DI MERU, KLANG SELANGOR DAN SEJARAHNYA
Ditulis Oleh : _______________
Tingkatan : _______________
No. Kad Pengenalan :____________
Angka Giliran :_______________
Sebagai contoh sahaja.
C) Isi Kandungan
(i) Latar belakang tempat kajian
Latar belakang adalah dasar atau asas kepada sesuatu perkara. Latar belakang yang baik harus disusun dengan sejelas mungkin dan bila perlu disertai dengan data atau fakta yang mendukung.
Justeru, calon-calon perlu menjelaskan perkara asas tentang latar belakang tempat kajian sebagai Pengenalan laporan bagi memberikan gambaran keseluruhan kandungan kajian tersebut.
Jelaskan latar belakang tempat kajian (lokasi) berdasarkan keadaan / situasi terkini (tinjauan)
Menemubual orang sumber (pengerusi / ketua kampung / orang lama ) bagi mendapatkan maklumat yang tepat
Contoh penulisan laporan seperti di bawah
Meru adalah sebuah bandar kecil di daerah Klang, Selangor, Malaysia. Bandar ini sedang meningkat naik kerana terdapat banyak bandar baru dibangunkan di sekitarnya. Antara bandar baru yang sedang pesat membangun di Meru adalah Bandar Baru Setia Alam.
Kawasan yang meliputi Meru bermula dari Batu 1, Jalan Meru yang terletak di laluan keluar Bandar Klang dan terdapat Sekolah Menengah Tinggi Klang di situ. Sempadan Meru berakhir di Bukit Kapar iaitu di Batu 8 1/2, sempadan Kapar di Persiaran Hamzah Alang dan sempadan daerah Shah Alam di Jalan Paip.
Selain itu, Terminal Bas Klang yang dahulunya bertempat di Jalan Pos Baharu telah dipindahkan 80% ke sebuah terminal baru yang dinamakan Klang Sentral di Meru. Ini menjadikan Meru sebagai sebuah hab laluan baru bagi sistem pengangkutan di Klang.
Meru terletak dalam Parlimen Kapar di bawah Y.B. Manikavasagam Sundaram. Ahli Dewan Undangan Negeri Meru pada waktu ini adalah Y.B. Tuan Dr. Haji Abdul Rani bin Osman.
Penulisan sebagai contoh sahaja.
(ii) Pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat
Bagi memudahkan calon-calon mendapatkan maklumat mengenai isi kandungan (pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat), sila cari maklumat berpandukan points berikut:
Menjelaskan serba sedikit asal usul tempat tersebut (kawasan kajian)
Individu / pihak terlibat (pengasas)
Pembentukan (faktor-faktor pembentukan / budaya / kaum)
Perkembangan (fizikal / penduduk / prasarana / kemudahan / infrastruktur)
Contoh penulisan laporan seperti di bawah berdasarkan points seperti dinyatakan di atas
Kampung Meru mula diteroka sekitar tahun 1901. Kumpulan peneroka ini adalah dari keturunan orang Jawa yang tinggal di Batu Belah.
Bermula dari hutan belantara, kumpulan peneroka mi menebang dan membersihkannya untuk dijadikan tempat bercucuk tanam. Mereka menanam tanaman kontan, buah-buahan serta sayur-sayuran. Pondok-pondok mula didirikan sebagai tempat berteduh dan akhinya dijadikan sebagai penempatan kekal.
Lebih kurang 10 tahun selepas diteroka, penduduk semakin ramai dan bertambah iaitu sekitar 50 keluarga. Kampung yang baru di buka memerlukan seorang pemimpin, oleh itu pada tahun 1911 Tn Hj Mohamad Shariff telah dilantik sebagai Ketua Kampung yang pertama. Beliau merupakan ketua kumpulan peneroka.
Nama Meru telah dipilih bersempena nama sebuah gunung di Tanah Jawa iaitu Gunung Mahameru yang mana ia merupakan daerah asal kumpulan peneroka Kampung Meru. Penduduk Meru mula bertambah dari sehari ke sehari. Kumpulan peniaga keturunan Cina mula berhijrah ke Kampung Meru dan diikuti oleh buruh keturunan kaum India.
Pada tahun 1916, masjid Kampung Meru mula didirikan di tapak masjid lama yang ada sekarang. Pada tahun 1917 penduduk Kampung Meru membuka tanah perkuburan yang terletak di Kampung Hj Mohamad Sharif.
Pada tahun 1918 Sekolah Melayu Sungai Binjai didirikan di tapak Sekolah Rendah (J) Kebangsaan Cina yang ada sekarang. Pada tahun 1924 nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan berpindah ke tapak Pusat Kesihatan Meru. Atas dasar keperluan sekolah ini terpaksa berpindah ke tapak yang ada sekarang.
Bangunan lama sekolah ini telah dijadikan Sekolah Rendah Agama Meru pada tahun 1955. Pada, tahun 1982 Sekolah Menengah Meru telah didirikan untuk kemudahan pembelajaran peringkat menengah anak-anak tempatan Kampung Meru, Kampung Bukit Kapar dan Kampung Budiman.
Daripada sebuah kawasan perkampungan kecil 100 tahun lalu, kini kampung Meru telah berubah wajah menjadi sebuah pekan yang amat pesat membangun. Kini kampung Meru memiliki segala kemudahan dan infrastruktur seperti sekolah, masjid, surau, klinik, bank lebih 40 buah taman perumahan dan sebagainya untuk kemudahan penduduk.
Kebanjiran dan pertambahan jumlah penduduk serta kepesatan pembangunan Kampung Meru adalah seiringan dengan pencapaian status Selangor Negeri Maju tahun 2005. Kampung Meru akan terus mengekalkan azam untuk meneruskan kejayaan yang dicapai di masa akan datang ke arah menjadikan Kampung Meru sebagai kampung yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Penulisan sebagai contoh sahaja.
(iii) Kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat
Sosioekonomi adalah kajian hubungan di antara aktiviti ekonomi dan kehidupan sosial yang melibatkan faktor kemasyarakatan dan faktor ekonomi ianya berbeza dengan ekonomi sosial (jangan keliru).
Calon-calon perlu membuat kajian dan menjelaskan tentang kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat di kawasan tempat tinggal, points carian maklumat seperti berikut
1. Mesti dipecahkan kepada sosial dan ekonomi. Mesti huraikan kedua-dua aspek berikut
i. Kegiatan sosial = aktiviti kemasyarakatan
Contohnya, keagamaan, kebudayaan, sukan, gotong-royong (buat penerangan tentang aktiviti kemasyarakatan yang selalu diadakan / dijalankan di tempat tinggal).
ii. Kegiatan ekonomi = Pekerjaan penduduk atau sumber pendapatan penduduk (apa-apa yang menjanakan pendapatan(duit)).Dalam aspek ni calon-calon mesti membuat tinjauan. Buktikan dengan jadual atau graf atau seumpamanya. Dalam mengesan pekerjaan masyarakat ditempat tinggal, calon-calon perlu melihat melalui kategori seperti bekerja kerajaan, swasta, kilang, bekerja sendiri atau tiada pekerjaan. Sediakan ulasan. Kesungguhan itu satu bonus. Sertakan bukti bergambar jika ada.
2. Calon-calon boleh sertakan data Latar belakang demografi bagi mengumpulkan maklumat responden (orang yang memberikan maklumat (menjawab soalan-soalan yg dikemukakan dalam sesuatu kegiatan kaji selidik ) iaitu berkaitan dengan umur, jantina, status perkahwinan, pekerjaan, tanggungan dan pendapatan.
3. Dengan berpandukan data yang diperolehi, penulisan boleh dibuat dengan menggunakan maklumat tersebut bagi menerangkan kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat
Penulis tidak dapat membuat contoh penulisan laporan, kerana penulisan laporan ini memerlukan tinjauan di kawasan setempat. Bagaimanapun panduan di atas dapat memberikan idea kepada calon-calon bagaimana cara untuk mendapatkan maklumat aspek ini.
(iv) Menilai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat
Untuk mendapatkan maklumat bagi membentuk laporan dalam aspek ini, ianya memerlukan kemahiran menilai daripada calon-calon. Maklumat yang didapati daripada penilaian boleh memberi gambaran tentang semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat di kawasan kajian.
Sila dapatkan maklumat berdasarkan points berikut:
Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan semangat perpaduan masyarakat
Cabaran untuk mengekalkan perpaduan masyarakat
Cadangan memupuk dan mengekalkan perpaduan masyarakat
Contoh penulisan seperti di bawah.
“Bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Peribahasa ini merupakan satu peribahasa yang membawa satu pengertian yang cukup besar dalam usaha kita mengekalkan perpaduan kaum dikalangan masyarakat selama ini. Semangat perpaduan membolehkan masyarakat hidup secara bersatu hati.
Perpaduan yang kuat dan kukuh antara masyarakat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi kesejahteraan serta kemakmuran masyarakat setempat. Oleh yang demikian, perpaduan dan keharmonian adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Sebagai langkah asas dalam membentuk perpaduan, setiap masyarakat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini.
Namun, sikap negatif masyarakat terutamanya masyarakat yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan.
Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap masyarakat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.
Penulisan sebagai contoh sahaja.
(v) Dengan merujuk kepada tempat tinggal anda, ulaskan pernyataan berikut:
“…tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini. “
Petikan ucapan Tunku Abdul Rahman pada 3 Jun 1957, di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur
Bagi aspek ini calon-calon perlu membuat ulasan terhadap pernyataan petikan ucapan Tunku Abdul Rahman seperti di atas dengan merujuk kepada keadaan / situasi terkini kawasan tempat tinggal calon.
Points mendapatkan maklumat:
Membuat pemerhatian dan penilaian terhadap keadaan masyarakat di tempat tinggal (kawasan kajian) dari segi semangat / persefahaman perpaduan yang ada, keunikan budaya & warisan, keharmonian kemasyarakatan berbilang kaum dan keistimewaan serta kelainan tempat tinggal calon (kawasan kajian) berbanding tempat lain.
Contoh penulisan seperti berikut:
Meru adalah sebuah bandar kecil yang aman damai disamping masyarakat penduduknya yang berbilang kaum. Keadaan ini dapat dikekalkan kerana berlakunya toleransi antara kaum utama terbesar di sini iaitu Melayu Cina dan India. Justeru itu, saya bersyukur dengan keamanan dan keharmonian di mana saya boleh duduk bersama serta berbincang tanpa ada rasa perbezaan antara satu sama lain. Persefahaman yang telah berjaya dicapai ini perlu dikekalkan supaya tiada perasaan curiga antara kaum kerana ia akan menjejaskan serta merosakkan semangat kemasyarakatan yang telah terjalin sejak sekian lama.
Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum.
Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.
Perpaduan dalam masyarakat merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak.
Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk menjadi negara maju dapat direalisasikan.
Penulisan sebagai contoh sahaja.
(d) Rumusan
Merumuskan dengan menghuraikan hasil keseluruhan laporan.
Maklumat dalam rumusan perlulah selari dengan laporan kajian yang dibuat oleh calon. Semak semula aspek dalam isi kandungan yang dibuat itu dengan baik dan pastinya terdapat nilai-nilai / unsur-unsur / kesan / iktibar yang boleh diketengahkan.
Setelah mengenalpasti nilai-nilai tersebut. Seterusnya menggabungkan ia sebagai satu rumusan disertakan dengan pengetahuan, cadangan dan harapan yang relevan berdasarkan tugasan kajian itu.
Contoh penulisan seperti di bawah.
Saya amat bersyukur kerana dapat menyelesaikan kajian tentang masyarakat di kawasan tempat tinggal saya berserta sejarahnya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Sepanjang menjalankan kajian tentang masyarakat di kawasan tempat tinggal saya, banyak pengetahuan, pengajaran dan nilai positif yang telah saya pelajari.
Saya juga dapat menguasai kemahiran membuat penyelidikan dengan tatacara yang betul serta dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi.
Hasilnya saya dapat merumuskan bahawa kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat.
Hubungan yang erat antara masyarakat dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama masyarakat. Masyarakat yang baik ialah masyarakat yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling mempercayai danm mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka.
Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan antara masyarakat.
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.
Penulisan sebagai contoh sahaja.
Panduan penulisan laporan akan dikemaskini dan disertakan mengikut peringkat dari semasa ke semasa. Untuk maklumat seterusnya, sila share (kongsi) pautan (link) artikel ini kepada rakan-rakan menerusi Facebook, Twitter, Instagram dan laman sosial media yang lain sebagai tanda terima kasih kepada penulis.
Objektif Kajian
Objektif Kajian ialah apa yang hendak kita capai melalui kajian yang kita lakukan. Objektif kajian haruslah menjawab persoalan kajian yang telah kita bentuk dalam laporan kajian.
Contoh objektif kajian seperti di bawah:
Kajian tentang masyarakat di kawasan tempat saya adalah untuk memupuk pemahaman dan kesedaran tentang sejarah perkembangan masyarakat setempat. Kajian ini membolehkan saya menghargai dan berbangga dengan sejarah masyarakat dan persekitaran serta mengukuhkan semangat kekitaan dan perpaduan antara kaum.
Objektif kajian tentang masyarakat di kawasan tempat tinggal membolehkan saya:
1 . Mencari, mengumpul, menganalisis, mentafsir serta mensintesis serta merumus maklumat dan fakta-fakta sejarah.
2. Mengenali dan memahami sejarah pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat.
3. Mengetahui dan memahami sejarah pembukaan kawasan tempat tinggal saya.
4. Memahami dan menghargai perkembangan dan kemajuan yang berlaku di kawasan persekitaran yang dikaji.
5. Memupuk semangat perpaduan dan kerjasama, kemesraan, kasih sayang, kebanggaan serta sikap bertanggungjawab dan hormat menghormati di kalangan penduduk setempat.
6. Menguasai kemahiran, mencari, mengumpul, merekod dan menganalisis maklumat.
Sebagai contoh sahaja.
Kaedah Kajian
Kaedah Kajian adalah suatu usaha yang dilakukan samada secara individu ataupun secara berkumpulan bagi menyelesaikan sesuatu bentuk laporan tugasan kajian.
Jumlah Kaedah Kajian yang perlu dinyatakan adalah bergantung kepada apakah kaedah kajian yang telah digunakan / dijalankan bagi menyiapkan sepenuhnya laporan tugasan / kajian yang dibuat oleh calon.
Contoh kaedah kajian seperti di bawah:
Saya telah menggunakan pelbagai kaedah kajian untuk mendapatkan maklumat serta data secara terperinci dan bersistematik. Antaranya seperti berikut:
1 . Permerhatian
Memerhatikan ciri-ciri fizikal di kawasan kajian seperti bentuk muka bumi, tumbuh-tumbuhan semula jadi dan kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar. Saya juga membuat pemerhatian terhadap ciri-ciri budaya di kawasan kajian seperti petempatan, pengangkutan dan perhubungan, kegiatan ekonomi, sumber dan kemudahan.
2. Analisis Dokumen
Saya mengunjungi perpustakaan bagi menjalankan penyelidikan terhadap sumber-sumber arkib yang terdapat di perpustakaan. Sumber-sumber arkib itu adalah koleksi buku ilmiah, petikan akhbar, majalah dan sebagainya untuk menguatkan lagi fakta dalam kajian saya.
3. Internet
Internet adalah satu gerbang limpahan pelbagai sumber bagi mendapatkan maklumat. Melalui laman sesawang berautoriti yang telah dilayari iaitu Portal Rasmi( ) saya turut dapat memuat-turun bahan berkaitan kajian / tugasan ini untuk dijadikan rujukan tambahan.
4. Temubual
Kaedah yang saya jalankan dalam menyiapkan kerja kursus ini antaranya ialah dengan menggunakan kaedah lisan iaitu melalui temubual dengan orang sumber saya yang tinggal di kawasan tempat tinggal saya. Beliau banyak memberi maklumat tentang kawasan tersebut.
5. Bimbingan Guru
Tanpa bimbingan guru, sudah tentu saya tidak akan berjaya melaksanakan tugasan kajian yang telah diberikan. Justeru, saya mendapat bimbingan dari guru iaitu Tuan / Puan
Sebagai contoh sahaja.
Proses Awal | Kerangka Kasar Penulisan
Proses awal (mencari maklumat berkaitan). Manakala membina kerangka kasar adalah bertujuan untuk memudahkan calon menulis / mengolah laporan dalam bentuk penulisan. Aspek-aspek yang ada dalam kerangka kasar adalah butiran isi-isi penting (nota kecil) laporan bagi setiap isi kandungan.