Langkah Membendung Kepupusan Hidupan Liar (Karangan)

Salah satu teknik untuk menambah pengetahuan dan kemahiran menulis karangan Bahasa Melayu adalah dengan membaca. Pelbagai bahan rujukan yang boleh dicari secara atas talian atau bahan bacaan fizikal di perpustakaan. Berikut dikongsikan contoh karangan langkah membendung kepupusan hidupan liar sebagai rujukan untuk semua.

Hidupan liar secara definisi adalah haiwan yang hidup bebas di kawasan hutan, laut, dan juga udara. Negara Malaysia yang terletak pada iklim khatulistiwa ini kaya dengan pelbagai hidupan liar yang menjadikan hutan-hutan tropika sebagai kawasan tempat tinggal mereka.

Selain daripada pembangunan, hidupan liar ini diancam kepupusan hasil daripada aktiviti haram yang memburu demi keuntungan. Misalnya, harimau yang diburu akan dibunuh dan kulitnya akan dijual kepada orang-orang kaya pada harga yang lumayan. Aktiviti ini perlu dibanteras demi kelangsungan spesies hidupan liar di Malaysia khususnya.

Contoh Karangan Cara Mengatasi Masalah Kepupusan Hidupan Liar

Di bawah adalah contoh karangan Langkah Membendung Kepupusan Hidupan Liar untuk rujukan semua. Turut disertakan isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk yang diberikan.

contoh karangan langkah membendung kepupusan hidupan liar

Pendahuluan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengeluarkan kenyataan bahawa hidupan liar seperti Harimau Malaya, Orang Utan dan tapir merupakan antara haiwan yang diancam kepupusan di negara ini. Kenyataan ini secara jelas menunjukkan banyak hidupan liar atau haiwan yang berasal daripada hutan sekeliling kita semakin pupus dari hari ke hari.

Antara faktor berlakunya ancaman ini adalah disebabkan pembangunan yang memusnahkan habitat hidupan liar serta sendiket pemburuan yang berleluasa.  Sebagai makhluk yang turut berkongsi tempat tinggal sama seperti hidupan liar kita seharusnya bersikap empati dan berusaha untuk memastikan hidupan liar ini tidak pupus.  Justeru, mari kita bincangkan langkah-langkah membendung kepupusan hidupan liar.

Isi 1 – Memastikan hutan simpan tidak diceroboh

Langkah pertama adalah untuk memastikan tempat tinggal hidupan liar iaitu hutan-hutan simpan tidak diceroboh. Pihak berkuasa telah pun melakukan tindakan yang bijak dari dahulu untuk mengazetkan kawasan-kawasan hutan simpan yang terdapat di kebanyakan negeri di seluruh Malaysia. Selain itu, penubuhan agensi seperti PERHILITAN dan renjer hutan dalam memastikan hutan dan hidupan di dalamnya kekal terpelihara wajar dipuji.

Namun, kerakusan sesetangah pihak yang menceroboh hutan simpan dan menggunakan kuasa untuk meluluskan perladanagn di kawasan hutan simpan perlu dicegah. Hutan simpan seharusnya tidak boleh disentuh oleh sesiapa untuk tujuan apa pun kerana ia merupakan khazanah negara yang berusia ratusan tahun dan penting untuk hidupan liar. Tuntasnya, penjagaan hutan simpan dapat membendung kepupusan hidupan liar kerana ia merupakan sumber dan tempat tinggal mereka.

Isi 2 – Menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas dan berkesan

Seterusnya, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas dan berkesan untuk mengatasi maslah kepupusan hidupan liar. Hal ini kerana, pemburu hidupan liar dan penceroboh hutan simpan dilihat mengulangi kesalahan mereka beberapa tempoh selepas ditahan atau didenda. Berdasarkan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, sesiapa yang didapati bersalah memburu, memiliki atau membunuh haiwan terpelihara, mereka boleh dikenakan denda dan dipenjarakan jika sabit kesalahan.

Akta yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia ini wajar digunakan dengan lebih tegas oleh pihak berkuasa. Mereka yang terlibat dengan jenayah yang mengancam kepupusan hidupan liar boleh dipaparkan secara umum di media arus perdana dan kekalkan rekod kesalahan secara terbuka di laman web pihak berkuasa. Langkah ini secara jelas dapat membendung kepupusan hidupan liar yang berpunca daripada sifat ketamakan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Isi 3 – Mewujudkan pusat perlindungan dan pemeliharaan hidupan liar

Langkah lain yang boleh diusahakan untuk memastikan hidupan liar tidak pupus adalah mewujudkan pusat perlindungan dan pemeliharaan hidupan liar dengan lebih banyak. Usaha ini memerlukan intervensi daripada pihak berkuasa dan tajaan daripada pihak swasta. Sebagai contoh, Zoo Negara sebelum ini mengalami masalah kewangan untuk memastikan operasi mereka diteruskan selepas dilanda pandemik. Haiwan-haiwan terpaksa mengurangkan pemakanan dan pekerja dibuang.

Jika terdapat intervensi daripada kerajaan dan kerjasama daripada pihak swasta, zoo dan pusat perlindungan hidupan liar dapat ditubuhkan tanpa ada masalah kewangan. Pusat perlindungan ini dapat menjadi tempat tinggal sementara hidupan liar jika mereka cedera diserang oleh pemburu atau tempat untuk mere membiak dan membesarkan anak-anak mereka dengan selamat sebelum dilepaskan semula ke habitat mereka. Izharnya, penubuhan pusat perlindungan dapat membantu mengatasi ancaman kepupusan hidupan liar.

Isi 4 – Melancarkan kempen dan pendidikan mengenai hidupan liar

Melancar kempen kesedaran dan pendidikan mengenai ancaman kepupusan hidupan liar juga salah satu langkah yang baik untuk dilaksanakan. Orang ramai terutamanya golongan muda tidak tahu kepentingan hidupan liar yang mengekalkan ekosistem hutan simpan yang menjadi antara sumber kehidupan kita. Aktiviti pembalakan juga akan mengancam habitat hidupan liar walaupun sumber kayu tersebut digunakan untuk kepentingan kita sebagai manusia.

Sekiranya kesedaran dapat ditimbulkan dalam kalangan masyarakat umum, pastinya segala aktiviti yang mencurigakan di kawasan hutan akan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Tindakan mendidik cara membuat laporan dan kepada siapa perlu kita melapor juga penting kerana masyarakat merupakan mata-mata kepada pihak berkuasa. Tegasnya, melalui pendidikan dan kempen kesedaran, ancaman kepupusan hidupan liar dapat dikurangkan.

Isi-isi penting yang lain:

  1. Membanteras pemburuan hidupan liar
  2. Melaksanakan penyelidikan untuk kelangsungan hidup hidupan liar

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak langkah yang boleh diusahakan untuk membendung kepupusan hidupan liar di Malaysia. Isu yang kurang mendapat perhatian daripada pihak berkuasa dan orang awam ini wajar dipolemikkan kerana terdapat pihak yang mengaut keuntungan disebalik kepupusan hidupan liar milik hutan kita. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air maka terpulanglah kepada kita sebagai individu untuk melakukan sesuatu bagi memastikan langkah-langkah di atas dilaksanakan. Sekiranya pemeliharaan hidupan liar berjaya diusahakan, pastinya pelbagai manfaat lain yang akan kita nikmati dari segi penyelidikan, pelancongan serta imej yang menarik buat negara di mata dunia.

Related : melindungi hidupan liar, perlulah dijalankan, flora dan fauna, pihak kerana, usaha untuk, haiwan liar, pemburuan haram, generasi akan datang, penguatkuasaan undang undang,