Antara tema yang lazim digunakan untuk soalan penulisan karangan Bahasa Melayu adalah tema yang berkaitan dengan persekitaran pelajar. Walaupun pelajar mampu memberikan isi dan huraian yang tepat tetapi guru akan menilai huraian pelajar sama ada menarik atau pun tidak. Berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan bersukan untuk kesihatan fizikal dan mental sebagai panduan.
Aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin meriah jika dilihat secara menyeluruh. Penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan seperti acara larian sempena kebajikan atau anjuran pihak berkuasa tempatan, pasti ramai yang akan turut serta untuk berlari atau berjoging pada hujung minggu bersama anak-anak atau rakan-rakan.
Budaya yang baik ini wajar diteruskan oleh kebanyakan masyarakat kerana faedah daripada bersenam atau bersukan sangat memberi manfaat kepada kita semua. Tambahan pula, atlet profesional negara yang beraksi diperingkat dunia menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam diri setiap anggota masyarakat di Malaysia.
Faedah Bersukan Kepada Masyrakat Untuk Kesihatan Fizikal Dan Mental
Berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan bersukan untuk kesihatan fizikal dan mental untuk rujukan semua.
Pendahuluan
Sukan secara definisi bermaksud segala kegiatan yang memerlukan gerak geri fizikal dan kemahiran serta tenaga seseorang individu. Aktiviti fizikal ini mempunyai pelbagai tujuan sama ada untuk mengisi masa lapang, berseronok bersama rakan-rakan atau berlatih untuk menyertai pertandingan sukan.Sebelum berlakunya era globalisasi, sukan adalah satu aktiviti riadah antara masyarakat pada waktu lapang.
Tetapi, kini sukan merupakan satu industri yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara dengan mewujudkan pelbagai sector pekerjaan dan keuntungan. Terpulanglah kepada kita untuk menyertai sesuatu aktiviti sukan untuk bersahaja atau secara serius kerana banyak kebaikan yang diperoleh daripada bersukan untuk kesihatan fizikal dan mental kita.
Isi 1 – Meningkatkan komposisi badan, perkembangan otot, kekuatan tulang
Dari segi fizikal, aktiviti sukan baik untuk meningkatkan kompisisi badan secara menyeluruh. Hal ini kerana apabila seseorang melakukan aktiviti sukan seperti berenang, individu tersebut perlu merenggangkan badan terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam kolam renang dan berenang mengikut teknik yang betul.
Jika aktiviti regangan atau pemanas badan tidak dilakukan, badan atau otot kita berisiko untuk cedera. Sukan renang misalnya dapat membantu perkembangan otot di bahagian tangan, badan dan juga kaki disebabkan perenang memerlukan daya untuk menggerakkan otot-otot serta menghadapi rintangan air di dalam kolam renang. Tuntasnya, bersukan dapat meningkatkan komposisi badan secara fizikal.
Isi 2 – Mengelakkan penyakit, serangan jantung
Pada masa yang sama, kebaikan bersukan dari segi fizikal seseorang adalah untuk mengelakkan penyakit. Bersukan dapat mengurangkan risiko kita diserang penyakit seperti serangan jantung kerana kita telah membina ketahanan diri melalui aktiviti sukan. Aktiviti sukan yang mempunyai intensity tinggi seperti berlari, berenang dan bermain futsal akan meningkatkan tahap kardiovaskular diri yang melancarkan peredaran darah ke seluruh badan dan menyihatkan jantung kita.
Persis kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat. Orang ramai digalakkan untuk menyertai aktiviti-aktiviti sukan agar risiko penyakit dalam kalangan masyarakat dikurangkan dan lahir komuniti yang sihat sejahtera. Jika aktiviti sukan ini digabungkan dengan pemakanan yang seimbang, anda telah berjaya menggayakan amalan hidup sihat seperti yang digalakkan oleh pegawai kesihatan. Jelas bahawa bersukan dapat membantu kita untuk mengelakkan diri daripada penyakit-penyakit.
Isi 3 – Meningkatkan perkembangan minda
Dari segi mental pula, aktiviti sukan menyumbang kepada perkembangan minda. Permainan sukan seperti bola sepak dan badminton memerlukan pemain untuk mematuhi peraturan yang dikenakan dan mendapatkan kemenangan daripada pihak lawan. Pemain akan diuji dari segi fizikal dan juga mental untuk menggabungkan kemahiran diri dan menghasilkan gerakan yang terbaik untuk menendang bola atau membuat pukulan libas kepada bulu tangkis.
Dalam sebuah pertandingan sukan yang professional, atlet akan mendapat bimbingan daripada jurulatih atau pengurus pasukan untuk melaksanakan strategi atau formasi terbaik bagi mendapatkan objektif permainan. Secara langsung minda kita akan terbuka untuk melihat potensi dan merealisasikan pergerakan-pergerakan tertentu berdasarkan kemampuan fizikal masing-masing. Perkembangan kognitif pada minda melalui latihan dan ingatan ini dapat mencerdaskan minda kita persis slogan badan cergas otak cerdas.
Isi 4 – Menambah keyakinan diri
Akhir sekali, kebaikan yang diperoleh daripada aktiviti sukan dari sudut mental seseorang adalah dapat meningkatkan keyakinan diri. Masih terdapat segelintir manusia yang takut untuk mencuba aktiviti sukan kerana risau tidak mahir seperti orang lain. Sebaliknya, kita hanya perlu mencuba dan jika berjaya ia akan meningkatkan keyakinan diri kita ke satu tahap yang lebih baik. Bak kata pepatah, belakang parang kalua diasah, nescaya tajam juga.
Walaubagaimanapun bentuk badan, berat badan dan rupa para, kita boleh menyertai apa sahaja aktiviti bersukan asalkan mendapat bimbingan daripada mereka yang berkemahiran atau profesional. Secara saintifiknya, bersenam atau bersukan akan membantu badan kita melepaskan hormon endorphin iaitu hormon kebahagiaan seseorang yang membantu mengurangkan tekanan hidup serta mengelakkan masalah fikiran negatif. Intihannya, bersukan dapat menambah keyakinan diri seseorang.
Isi-isi penting lain yang berkaitan:
- Menambah kualiti tidur
- Mengelakkan tekanan dan kemurungan
- Meningkatkan kemahiran komunikasi dan pergaulan
Penutup
Konklusinya, bersukan memberikan manfaat yang banyak kepada fizikal dan mental kita secara langsung dan tidak langsung. Aktiviti yang sihat ini wajar digalakkan kepada segenap masyarakat tanpa kira usia kerana faedah disebaliknya sangat banyak dan rugi jika tidak diamalkan. Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai infrastruktur untuk kita melakukan aktiviti sukan seperti padang awam dan juga pusat rekreasi. Terserah kepada kita sebagai masyarakat umum sama ada ingin menjadi masyarakat yang sihat dengan menyertai aktiviti sukan atau hanya duduk di rumah menonton kandungan televisyen dan internet sambil memakan makanan segera. Tepuk dada tanya selera.
Related : memberikan faedah, kegiatan sukan, tubuh badan, sia sia, datuk lee chong wei, berharga bagi setiap individu atau masyarakat, sukan negara, membuang masa, bersukan juga dapat mengisi masa, mengeluarkan peluh
untuk bersukan, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan, pelbagai faedah, mengeratkan hubungan,