Cara Ikat Tali Leher Panduan Pakai Tie Mudah

Tali leher merupakan sejenis aksesori pakaian yang sinonim dengan formaliti. Kebiasaannya tali leher dipakai oleh para pekerja profesional, pelajar sekolah rendah/ menengah atau untuk situasi-situasi formal seperti menghadiri sesi temuduga kerja, mesyuarat dan majlis korporat. Ia merupakan pakaian kaum lelaki tetapi dalam sesetengah jenis persalinan pakaian, ia sesuai untuk kaum perempuan juga.

Material yang digunakan untuk menghasilkan tali leher kebiasaannya terdiri daripada sutera atau poliester yang memiliki warna dan corak tertentu. Antara jenis tali leher adalah skinny tie, bowtie, western bowtie, bolo tie dan ascot. Kesemua tali leher ini berbeza dari segi rekaannya, cara pemakaiannya serta kesesuaian situasi/ keraian untuk menggayakannya.

Namun begitu, tali leher yang biasa dipakai dalam kalangan masyarakat adalah tali leher tradisional yang biasa kita lihat samada four in hand, the seven fold atau skinny. Ia mempunyai bentuk lurus yang bermula dari pangkal yang lebih kecil ke hujung yang lebih lebar dan dipakai di tengah-tengah bahagian hadapan badan dengan cara mengikatnya di keliling leher dan hujungnya dibiarkan jatuh mencecah pinggang.

Tidak seperti memakai baju atau seluar yang hanya perlu disarung, untuk memakai tali leher, seseorang individu perlu mengikatnya dengan cara yang betul agar kelihatan kemas dan rapi. Terdapat pelbagai cara untuk mengikat tali leher dengan mudah yang dapat dipelajari oleh semua kaum lelaki terutamanya yang biasa memakai tali leher saban hari. Oleh itu, buat yang berminat boleh merujuk Cara Memakai Tali Leher atau Panduan Ikat Tie yang dikongsikan.

Cara Ikat Tali Leher Mudah Dan Betul (Sekolah Atau Kerja)

Semua perkara susah akan menjadi mudah sekiranya dipelajari dan didalami. Begitu juga cara mengikat tali leher. Berikut merupakan beberapa cara mengikat tali leher yang mudah untuk dipelajari dan difahami

Panduan Mengikat Tali Leher

Terdapat empat teknik mengikat tali leher yang asas iaitu:

A) Four In Hand

  1. Four in Hand merupakan ikatan tali leher yang paling popular
  2. Ia juga merupakan ikatan paling mudah
  3. Simpulannya bersaiz kecil dan tidak simetri
  4. Sesuai untuk jenis pemakaian smart casual
  5. Digalakkan untuk kolar berbentuk tajam dan mempunyai bukaan rapat serta kolar jenis berbutang (button-down)
  6. Video panduan ikatan Four in Hand:

B) Shell Knot

  1. Ikatan ini juga dikenali sebagai Shelby atau Pratt Knot
  2. Ia merupakan cara ikatan lama yang sesuai untuk pemakaian formal, bisnes casual atau casual
  3. Simpulannya simetri dan bersaiz kecil
  4. Digalakkan untuk kolar bersaiz kecil dan berbentuk tajam
  5. Video panduan ikatan Shell /Pratt:

C) Windsor/Full Windsor

  1. Menghasilkan ikatan yang rapi dan simetri
  2. Simpulannya yang berbentuk segitiga bersaiz besar sesuai untuk kolar yang memiliki bukaan lebar
  3. Untuk pemakaian yang betul, tali leher yang digunakan mestilah sekurang-kurangnya 4 cm (1.6 inci) lebih panjang daripada tali leher konvensional biasa
  4. Ikatan ini sesuai untuk acara-acara rasmi yang sangat formal seperti mesyuarat bersama individu berkepentingan
  5. Gunakan tali leher yang mempunyai tona warna gelap dan corak yang tidak begitu menyerlah dengan ikatan gaya ini
  6. Video panduan ikatan Windsor/Full Windsor:

D) Half Windsor

  1. Salah satu ikatan tali leher yang popular
  2. Ikatannya simetri, seimbang dan sesuai untuk kebanyakan acara profesional
  3. Simpulannya bersaiz sederhana dan sesuai untuk kolar yang mempunyai bukaan sederhana lebar
  4. Lebih besar daripada ikatan four in hand tetapi lebih kecil daripada full windsor
  5. Video panduan ikatan Half Windsor:

Teknik Lain Untuk Mengikat Tali Leher

Bagi yang ingin mencuba atau mempelajari cara-cara mengikat tali leher selain daripada empat cara di atas, berikut dikongsikan langkah-langkahnya:

A) Kelvin Knot

B) Oriental Knot

C) Nicky Knot

D) Victoria Knot

E) Cafe Knot

TIPS PEMAKAIAN & PEMILIHAN TALI LEHER

Berikut dikongsikan tips dan panduan pemakaian serta pemilihan tali leher yang betul:

A) Kepanjangan Tali Leher

Hujung tali leher yang dipakai mestilah betul-betul berada di atas kepala talipinggang (belt buckle) seperti dalam gambar tengah untuk cara pemakaian yang betul. Jika tidak, rujuk tips berikut untuk penyelesaiannya:

Terlebih Pendek
Lebihkan hujung tali leher yang lebar ke bawah semasa mengikat tali leher
Gunakan ikatan Four-in-Hand kerana ikatan tersebut hanya menggunakan sebahagian kecil tali leher untuk menghasikan simpulannya
Terlebih Panjang
Lebihkan hujung tali leher yang kurang lebar/tirus ke bawah semasa mengikat tali leher tersebut
Gunakan ikatan Windsor kerana ikatan tersebut menggunakan sebahagian besar tali leher untuk menghasikan simpulannya
Saiz Tali Leher Yang Betul
Lebar
3 inci hingga 3.75 inci (7.5 cm hingga 9.5 cm) untuk pemakai bersaiz sederhana
Panjang
Bergantung kepada pemakai. Panjangnya mestilah cukup untuk menyentuh kepala talipinggang selepas diikat
Saiz Tali Leher Berpandukan Saiz Tubuh Badan
Tubuh Besar/Lebar
Gunakan tali leher yang mempunyai kelebaran yang besar
Tubuh Kecil/Kurus
Gunakan tali leher yang kurang lebar seperti skinny tie
Ikatan Yang Sesuai Mengikut Kolar 
Bukaan Kolar Kurang Lebar Atau Berbutang
Gunakan ikatan Four-in-Hand
Bukaan Kolar Sederhana Lebar
Gunakan ikatan Half-Windsor
Bukaan Kolar Lebar
Gunakan ikatan Windsor
Padanan Tali Leher Dan Baju
Baju Kosong + Tali Leher Kosong
Pilih tali leher berwarna lebih gelap berbanding baju (walaupun warna sama)
Baju Bercorak + Tali Leher Kosong
Pilih tali leher yang berwarna sama dengan salah satu warna dalam corak baju yang dipakai atau pilih warna yang dominan
Baju Bercorak + Tali Leher Bercorak
Pilih tali leher bercorak lain berbanding corak baju atau mempunyai nisbah serta saiz corak yang berlainan

Jenis-Jenis Tali Leher

Terdapat pelbagai jenis tali leher yang boleh disesuaikan untuk acara dan situasi yang berbeza-beza. Antaranya adalah:

  1. Tali Leher Tradisional
    • Merupakan tali leher standard yang paling biasa dipakai. Sesuai untuk kebanyakan jenis pakaian formal dan keraian rasmi
  2. Skinny Tie
    • Secara umumnya tali leher skinny atau skinny tie adalah sama dengan tali leher traditional melainkan saiznya yang lebih tirus dan kurang lebar berbanding tali leher traditional. Ia sering digunakan oleh golongan muda dan sesuai untuk menjadikan suatu-suatu persalinan pakaian itu lebih bergaya
  3. Bowtie
    • Bowtie adalah sejenis reben yang diperbuat daripada fabrik yang diikat di keliling kolar. Ia biasa dipakai dengan tuksedo dan baju berkolar pendek
  4. Western Bowtie
    • Western Bowtie terkenal sebagai tali leher yang dipakai oleh Colonel Sanders, pengasas KFC dan sangat jarang dipakai oleh orang lain. Namun begitu, ia kelihatan menarik dan sesuai dipakai dengan persalinan sut
  5. Ascot Tie
    • Tali leher Ascot, atau dikenali sebagai Ascot sahaja berasal daripada pakaian keturunan orang British dan terkenal sebagai pakaian tradisi dalam resam perkahwinan orang British dan orang Scottish
  6. Bolo Tie
    • Bolo Tie merupakan tali leher yang paling berbeza berbanding tali leher yang lain. Secara asasnya, bolo tie adalah seutas tali yang diperbuat daripada apa-apa bahan atau material, yang mempunyai sejenis perhiasan logam di tengah-tengahnya. Bolo tie sering dapat dilihat dalam persalinan pakaian koboi