Buah-buahan merupakan sumber makanan yang memberikan pelbagai nutrisi kepada manusia. Terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang boleh didapati di seluruh dunia. Di Asia Tenggara buah durian terkenal dengan nama raja segala buah. Di Malaysia, durian semestinya amat dinantikan musimnya. Kebiasaannya ketika musim durian tiba, kita dapat melihat banyak kedai-kedai menjual buah durian di tepi jalan.
Bila tiba musim durian, penggemar-penggemar durian akan berpusu mencari durian kegemaran mereka. Untuk pengetahuan, terdapat banyak jenis durian yang boleh didapati. Namun di Malaysia terdapat 12 jenis durian yang paling digemari dan paling dicari ketika musim durian tiba. Untuk sekilo durian boleh mencecah hingga puluhan ringgit bergantung kepada jenis durian tersebut.
Ciri-ciri durian boleh dibezakan dengan saiz, ketebalan isi durian dan juga bentuk duri pada durian. Untuk pengetahuan, terdapat 199 klon durian telah didaftarkan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 1934. Kesemua jenis durian tersebut telah dibiakkan dengan menggunakan teknik tampang. Untuk setiap klon durian tersebut mempunyai keunikan tersendiri dan mempunyai ciri fizikal dan rasa yang berbeza.
Senarai Jenis Buah Durian Popular Di Malaysia
Berikut dikongsikan jenis-jenis buah durian yang popular dalam kalangan penggemar durian di Malaysia. Turut disertakan diskripsi ringkas tentang kesemua 12 jenis durian tersebut sebagai info tambahan kepada semua penggemar durian di Malaysia:
1) Musang King
Durian Musang King merupakan durian yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Durian ini dikenali sebagai raja kepada raja buah, sangat dicari-cari oleh penggemar durian di Malaysia. Nama lain bagi durian Musang king adalah butter durian, Rajah kunyit dan Cat mountain king. Ciri-ciri buah ini adalah ulasnya berwarna kuning terang dengan rasanya yang manis dan pahit tetapi sangat berkrim menjadi pilihan utama penggemar durian di Malaysia. Saiz buahnya sederhana besar, bulat dan kulit berwarna hijau perang.Harga di pasaran adalah sekitar RM60-RM150 per Kg
Ianya mempunyai corak seakan-akan bintang pada bawah buahnya. bijinya pula kecil berbanding baka lain dan pangkal tangkainya tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit.
2) Golden Phoenix
Nama lain bagi durian Golden Phoenix adalah golden pillow. Boleh didapati di dusun-dusun durian di Johor. Kebiasaannya durian jenis ini tumbuh dari pokok lama dan bukan hibrid. Oleh itu durian ini menjadi sesuatu yang lain daripada yang lain kerana rasanya yang asli. Ciri-ciri durian Golden Phoenix adalah ulasnya yang berwarna kuning pucat dan sedikit keputihan, teksturnya yang sedikit berair juga baunya yang tajam membuatkan ia mempunyai peminat tersendiri. Saiz buahnya pula bersaiz sederhana besar, bujur dan pangsanya juga nipis.
3) Durian D13
Buah durian D13 juga dikenali dengan nama super red prawn yang biasanya boleh didapati di Balik Pulau, Pulau Pinang. Ulasnya berwarna oren, rasanya sedikit manis dan kurang berbau dan mempunyai biji yang besar. Harganya sekitar RM30 ke atas.
4) Durian D101
Durian D101 berwarna kuning kusam dan sedikit manis berkrim. Tekstur durian jenis ini sangat lembut. Malah harganya juga tidak terlalu mahal jika dibandingkan dengan durian jenis premium yang lain.
5) Durian Udang Merah (Red Prawn)
Keunikan durian jenis ini adalah warnanya yang oren kemerahan. Rasanya yang manis dan sedikit melekit menjadikannya antara durian yang diminati. Nama lain bagi durian ini adalah Hong Xia, Ang Hay. Ia juga terkenal di Pulau pinang namun kini peminat durian jenis udang merah juga boleh mendapatinya di Pahang serta beberapa kedai durian di sekitar Lembah Klang.
6) Durian Black Pearl
Durian jenis ini merupakan salah satu durian premium. Isinya berwarna kuning pucat dan rasanya sedikit pahit membuatkannya digemari oleh sebahagian penggemar durian. Selain daripada itu, bijinya juga kecil, isi tebal serta rasa yang berlemak membuatkan ianya sangat mengenyangkan. Harga durian Black Pearl adalah sekitar RM50 dan ke atas.
7) Durian Monthong
Durian yang berasal daripada Thailand ini banyak dipasarkan di Malaysia. Bersaiz besar dan beratnya boleh mencecah 5kg hingga 6kg sebiji. Rasa berlemak dan manis serta isinya lembut walaupun warnanya sedikit pucat.
8) Durian Xo
Durian jenis ini mudah didapati di mana-mana gerai durian. Ciri-ciri durian ini berwarna kuning pucat dan rasanya agak pahit. Tekstur isinya pula sangat lembut dengan ulas yang lebih kecil tetapi isinya sangat tebal menjadikan ia antara durian yang paling dicari. Selain itu, harganya juga lebih murah jika hendak dibandingkan dengan lain-lain jenis durian. Sekitar RM20 untuk setiap sekilogram anda boleh menikmati durian XO.
9) Durian D24
Nama lain bagi buah durian D24 adalah durian Sultan. D24 amat popular dalam kalangan peminat durian. Ciri-ciri yang ada pada D24 adalah warnanya yang kuning pucat dengan sedikit rasa pahit tetapi berkrim. Isinya agak tebal menambahkan lagi kepuasan penggemar durian. Selain itu, antara cara untuk mengenal pasti durian D24 adalah terdapat ruangan tidak sempurna ditengah-tengah pangsa D24. Harga untuk sekilogram D24 agak murah iaitu sekitar RM20 ke atas.
10) Durian Green Bamboo (Teka Durian)
Nama lain bagi durian green bamboo adalah Qing Zhu. Buahnya berwarna kuning kusam dengan sedikit kehijauan juga merupakan salah satu durian yang paling dicari ketika tibanya musim durian. Istimewanya durian green bamboo adalah isinya yang manis dan mempunyai serat makanan yang banyak. Selain itu, isinya juga agak tebal dan bijinya pulakecil. Ia mudah didapati di mana-mana gerai durian
11) Durian D162 (Tawa)
Durian D162 mempunyai rasa yang berbeza jika dibandingkan dengan durian lain dipasaran. Jarang kedai durian menjual durian jenis D162 kerana warna ulasnya tidak begitu menarik dan rasanya juga agak pahit tetapi teksturnya lembut berkrim. Penggemar durian wajib untuk mencuba durian jenis ini walau pun rasanya agak berbeza dengan durian-durian lain.
12) Durian Black Thorn/ Durian D200 (Duri Hitam)
Black Thorn atau Orchi (durian duri hitam) adalah satu klon terbaharu durian dari Sungai Bakap, Pulau Pinang. Pada masa kini, ianya adalah durian termahal di Malaysia iaitu lebih mahal daripada Musang King. Warnanya adalah kurning dengan isinya penuh berkrim serta tebal
Nama lain bagi durian ini adalah Ochee. Ciri-ciri durian D200 adalah buahnya yang agak bulat, isinya pula berwarna oren kemahiran. Rasanya pula manis berkrim namun sedikit pahit. Tekstur isinya pula sangat lembut akan tetapi kurang serat.